[VIDEO] Bung Moktar minta GRS henti tuduh pembangkang isu video 'ADUN rasuah'

KOTA KINABALU - Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhenti menuduh pihak pembangkang dengan kenyataan tidak berasas berhubung video yang mengaitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan rasuah.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini telahpun menafikan penglibatan mereka sebagai dalang di sebalik penyebaran video skandal ADUN rasuah tersebut.

"Merujuk kenyataan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah yang menuduh pihak pembangkang sebagai dalang di sebalik penyebaran video skandal ADUN Rasuah, jadi saya terpanggil untuk memberikan kenyataan balas.

"Saya hairan dengan tuduhan tersebut kerana pihak kami telah menafikan sebarang penglibatan dalam penghasilan atau penyebaran video berkenaan.

"Saya ingin menasihatkan pihak kerajaan GRS agar berhenti membuat tuduhan tidak berasas terhadap pihak pembangkang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

**media[2964871]**

Beliau menegaskan, UMNO atau Barisan Nasional (BN) tidak perlu bermain politik kotor kerana yakin rakyat Sabah tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Beliau malah mendakwa, GRS gagal dalam mengurus tadbir Sabah dan ia bukan rahsia yang disembunyikan lagi memandangkan jelas isu bekalan air bersih menghantui rakyat di negeri ini.

"Rakyat Sabah semakin matang dan bijak menilai dan tindakan sebegini hanya akan membuka mata mereka tentang siapa yang sebenarnya bertanggungjawab dalam isu ini," katanya.